YDP Agong Mula Jelajah Kembara Borneo Di Sarawak 7 September Ini

YDP Agong Mula Jelajah Kembara Borneo Di Sarawak 7 September Ini

0
SHARE
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...

KUCHING, SARAWAK – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan memulakan jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ di Sarawak dari 7 sehingga 13 Sept ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata konvoi baginda di negeri itu yang melibatkan perjalanan sejauh 1,198 kilometer (km), dijadualkan bermula dari arah utara sehingga penghujung selatan Sarawak iaitu dari pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas sehingga Telok Melano.

“Secara rasmi, rombongan Seri Paduka Baginda akan tiba di Sarawak pada 7 Sept dari Sabah, melalui jalan darat di pintu masuk ICQ Merapok dan rombongan akan terus ke Bandar Lawas menuju ke Tebingan Lawas, sebelum meneruskan perjalanan ke Negara Brunei Darussalam.

“Baginda dan rombongan akan berada di Brunei selama tiga hari dari 7 hingga 9 Sept, seterusnya konvoi Baginda dijangka tiba Miri pada bagi meneruskan Kembara Kenali Borneo di Sarawak,” katanya dalam sidang media ‘Kembara Kenali Borneo’ di sini, semalam.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah…

Abdul Karim berkata antara lokasi yang bakal dilawati rombongan Al-Sultan Abdullah di bahagian utara negeri termasuk Coco Cabana Miri, Kampung Penan Muslim Batu 10 dan Rumah Panjang Raymond Plen di Sebauh, manakala di wilayah tengah Sarawak melibatkan lokasi Tokong Yu Lung Tian En Si, Kampung Bandung Sibu dan Pasar Central Sibu.

Lokasi menelurusi Lebuhraya Pan Borneo kemudiannya diteruskan ke bahagian selatan Sarawak, iaitu Masjid Bahagian Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano.

“Saya bertanggungjawab sebagai menteri pengiring dan akan berada bersama-sama Seri Paduka dan Raja Permasuri Agong, sepanjang jelajah di Sarawak dari 7 Sept. Selain itu, ada juga menteri dan timbalan menteri Sarawak yang ditugaskan mengikut lokasi berbeza, untuk menyambut ketibaan rombongan,” katanya yang menambah Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai program menarik di setiap lokasi yang dilawati.

Abdul Karim berkata antara aktiviti diadakan termasuklah pameran dan demonstrasi kraftangan, aktiviti kebudayaan, aktiviti memasak yang mengetengahkan keunikan juadah Sarawak.

“Paling penting, rombongan Al-Sultan Abdullah turut berpeluang beramah mesra dengan rakyat di Sarawak ini, sejajar dengan matlamat utama kembara yakni untuk mendampingi dan menyantuni rakyat Sarawak,” katanya.

Jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ dijadulkan bermula dari Tawau, Sabah pada 3 Sept dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak pada 13 Sept, dengan melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menempuhi perjalanan sejauh 2,154 kilometer (km) pada jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September ini…(Sumber Foto: Utusan Sarawak)

Mengenai kawalan lalu lintas sepanjang jelajah berkenaan, Abdul Karim berkata perkara itu telah diatur rapi oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pejabat Residen Bahagian Sarawak yang dilawati pasangan diraja itu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk sentiasa mematuhi arahan dari pihak berkuasa sepanjang perjalanan kembara baginda berdua.

– BERNAMA