Haram Hukumnya Beri Wang Kepada Pengemis Di Jalanan – MUI

Haram Hukumnya Beri Wang Kepada Pengemis Di Jalanan – MUI

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Haram hukumnya memberi wang kepada pengemis di jalanan, demikian fatwa menurut Majlis Ulama Indonesia (MUI) Sulawesi Selatan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Memetik laporan portal berita tempatan Coconuts, MUI yang merupakan antara badan ulama tertinggi dan paling berpengaruh di negara itu mengeluarkan fatwa tersebut berkenaan pada minggu ini.

Menurut MUI, fatwa yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan tafsiran undang-undang dan ajaran Islam yang mana pemberian wang kepada pengemis hanya membuatkan serta membolehkan mereka terus mengemis.

“Pemberian wang kepada pengemis jalanan menyokong tindakan mereka dan pada masa yang sama gagal untuk mendidik kumpulan itu untuk membina akhlak yang baik,” kata Setiausaha Agung MUI Sulawesi Selatan, Muammar Bakri

Beliau menambah, perbuatan itu adalah satu dosa kepada pemberi dan juga penerima.

Terdapat banyak laporan mengenai sindiket yang mengambil bahagian daripada wang yang diberikan kepada pengemis jalanan, termasuk kanak-kanak di Indonesia.

Malah, terdapat juga fenomena orang kaya yang pergi ke bandar-bandar besar untuk mengemis memandangkan lebih mudah meraih simpati orang ramai berbanding bekerja seperti biasa.

Dalam fatwanya, MUI memberi amaran bahawa mereka yang meminta-minta walaupun berkemampuan dari segi fizikal dan mental dianggap melakukan dosa yang lebih besar.

Tambahan pula, kehadiran pengemis jalanan juga boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman di kawasan awam.

Dalam pada masa yang sama, MUI menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan wang mereka melalui pertubuhan amal yang dipercayai.