Pembinaan 2 Menara Telekomunikasi Bakal Atasi Masalah Capaian Internet Lemah Di Tenom

Pembinaan 2 Menara Telekomunikasi Bakal Atasi Masalah Capaian Internet Lemah Di Tenom

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

TENOM, SABAH – Masalah capaian internet lemah yang dihadapi penduduk Tenom bakal diatasi dengan pembinaan DUA (2) menara telekomunikasi di daerah ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, menara pertama sedang dalam pembinaan di Kampung Bamban dan dijangka siap April tahun depan manakala satu lagi akan dibina di Kampung Batu 14, di sini bermula awal tahun depan menerusi inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Pembinaan kedua-dua menara komunikasi itu dijangka dapat meningkatkan liputan internet di kawasan yang dimaksudkan selain membolehkan penduduk menjalankan aktiviti seharian mereka dengan lancar,” kata kenyataan itu.

Capaian internet lemah adalah antara isu dihadapi penduduk sehingga menjejaskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Keadaan itu menyebabkan guru di kawasan luar bandar sukar menggunakan kaedah PdPR secara digital.

Berikutan itu, guru terpaksa menggunakan kaedah lain termasuk mengambil inisiatif menghantar bahan PdPR secara fizikal kepada pelajar seperti yang dilakukan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Pekan Tenom.

Terdahulu, laporan BERNAMA mendedahkan guru di sekolah itu terpaksa memandu sejauh 40 kilometer menghantar bahan PdPR kepada pelajar mereka di Kampung Bamban dan Batu 14.