TAMBUNAN, SABAH – Baru-baru ini tular di media sosial bahawa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan khususnya Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) tidak melakukan kerja di laman Facebook milik ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong.
Dia juga berkata UPPM tidak menyalurkan apa-apa bantuan kepada rakyat yang susah di kawasan masing-masing.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tambunan, Alexius Kiob berkata tuduhan yang dilemparkan oleh Junz sangat tidak berasas.
“Junz mendakwa lagi bahawa setiap PPM telah diberikan peruntukan untuk membantu rakyat sedangkan itu adalah sama sekali tidak benar melainkan peruntukan yang dimaksudkan adalah disalurkan melalui ADUN kawasan masing-masing.
“Justeru tindakan Junz yang menyebarkan nombor telefon peribadi PPM dan mempertikaikan tugasan UPPM masing-masing adalah sikap yang sangat tidak professional.
“Sedangkan PPM dan UPPM masing-masing sibuk berkerja tambahan lagi pada musim pandemik ini dengan program vaksinasi, bantuan bakul makanan dan juga bencana alam yang terjadi baru – baru ini,” katanya.
Alexius berkata seharusnya Junz lebih bersikap rasional daripada mencari kesalahan yang tidak berfakta semata-mata untuk dilihat lebih baik dan kerajaan dilihat lemah.
Dia mengambil sebagai contoh kenyataan Junz bahawa “UPPM sibuk dengan mesyuarat, ambil gambar dan makan-makan.”

“Kenyataan sebegitu adalah memperlihatkan kebencian Junz secara peribadi kepada kerajaan…
“Realitinya, setiap perancangan program kena ada mesyuarat. Setelah selesai mesyuarat pastinya disediakan minum dan gambar adalah untuk laporan umum laman rasmi.
“Dalam keadaan pandemik kritikal sebegini seharusnya semua pihak berganding bahu, bukannya saling menuding jari dan membuat tuduhan fitnah.
“Junz seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyalurkan peruntukan kepada ADUN-ADUN bukan kerajaan bagi membolehkan mereka memberi bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing,” kata Alexius.