KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity (SE), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, dilantik sebagai ahli Program CEO@Faculty di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha memperkukuh kerjasama antara industri dan institusi pengajian tinggi.
Pelantikan itu disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kassim Mansor, dalam satu sesi rasmi di pejabatnya di Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.
Turut hadir menyaksikan penyampaian pelantikan tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah SE, Saadiah Aziz, selain beberapa pegawai kanan dari UMS dan SE.
Program CEO@Faculty merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan merapatkan jurang antara dunia akademia dan industri dengan menghubungkan ketua pegawai eksekutif serta pemimpin industri dengan institusi pengajian tinggi.
Menerusi program itu, pemimpin industri berpeluang berkongsi pengalaman kepimpinan, memberi bimbingan kepada pensyarah dan pelajar serta menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang lebih relevan dengan keperluan industri semasa.
Pelantikan Mohd Yaakob sebagai CEO@Faculty bagi FST dilihat bertepatan dengan kekuatan fakulti tersebut dalam bidang sains, teknologi dan kelestarian alam sekitar, khususnya dalam pembangunan teknologi tenaga serta penerokaan penggunaan tenaga hijau.
Melalui kerjasama itu, FST UMS berhasrat memperkukuh hubungan strategik dengan industri tenaga, khususnya SESB, bagi memperluas kolaborasi dalam pembangunan program akademik baharu, peluang penyelidikan dan inovasi, termasuk pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Selain memberi pandangan industri dalam pembangunan kurikulum dan aktiviti akademik, Mohd Yaakob juga dijangka terlibat dalam beberapa inisiatif bersama pelajar dan pensyarah, termasuk sesi perkongsian kepimpinan industri, perbincangan strategik berkaitan sektor tenaga serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tenaga lestari.
Turut hadir dari pihak UMS ialah Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri; Dekan FST UMS, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Prof. Madya Dr. Chin Pie Yee; serta Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FST UMS, Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud.
Manakala dari pihak SE turut hadir Pengurus Besar (Transmission Asset Management) SESB, Ir. Ts. Mohd Fauzi Awang, serta Ketua Strategi Transmisi SESB, Ir. Ts. Sudalli Sabtuahim.






