KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mengecam kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed yang mendakwa beliau ‘lari lintang-pukang’ selepas kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebagai satu fitnah jahat dan tindakan kebudak-budakan.
Zulkarnain berkata tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas malah mencerminkan tahap politik yang merugikan masa depan parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.
“Kalau beginilah cara berpolitik Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah yang baru, saya melihat masa depan parti itu akan bertambah parah.
“Selepas Parti Warisan mengambil alih kerajaan Sabah pada 2018, saya dan pasukan dalam G57 terus berjuang membantu UMNO, termasuk menyumbang kepada kemenangan calon UMNO-BN dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis pada tahun 2020.
“Jeffrey sepatutnya bertanya sendiri kepada Datuk Kadzim Yahya, bekas Setiausaha Kerja UMNO Sabah ketika itu, mengenai gerak kerja yang kami jalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, tindakan dan strategi G57 sejak 2018 sebenarnya turut digunakan untuk menumbangkan kepimpinan Parti Warisan dan Bung Moktar, namun beliau memilih untuk tidak mendedahkannya secara terperinci demi menjaga strategi gerakan itu.
Zulkarnain turut mendedahkan bahawa beliau pernah menerima ancaman bunuh sehingga terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur ketika Warisan memerintah Sabah, sedangkan Jeffery dilihat “tidur lena” di rumah.
“Saya juga ditekan melalui laporan polis yang direka-reka, namun semua perancangan mereka gagal,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu surat tuntutan (LOD) dan saman akan dihantar kepada Jeffery kerana dakwaan tersebut dianggap berniat jahat serta bertujuan menjatuhkan reputasinya sebagai aktivis pro-UMNO.
“Saya akan arahkan pasukan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau,” tegas Zulkarnain.