KOTA KINABALU: Justin Wong dan Warisan, “don’t talk much”, tapi jumpa di gelanggang pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) nanti, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim.
Tegas Bahrin, rakyat Sabah akan membuat penilaian berdasarkan rekod dan prestasi Kerajaan Negeri hari ini dan bukan retorik.
“Kami yakin rakyat semakin matang menilai, yang mana kaca dan yang mana permata, dan siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang hanya pandai menyalak di luar gelanggang dan membuat janji kosong untuk meraih sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong (Warisan), Justin Wong yang menggesa Ketua Menteri dan beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya meletakkan jawatan kononnya atas dasar “sayangkan Sabah.”
Tegasnya, kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat populis & politik murahan, malah mencerminkan sikap hipokrit Warisan yang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka semasa diberi mandat dahulu.
“Jangan lah sembunyikan kegagalan anda dan menundingkan jari kepada pihak ya lain. Rakyat Sabah telah memberi kepercayaan kepada Warisan dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Namun, apa yang telah Warisan lakukan ketika itu? Janji-janji kosong, ketidakstabilan politik dan pentadbiran lemah menjadi tanda aras pemerintahan mereka.
“Satu penggal pun tidak mampu dipertahankan, namun hari ini tampil seolah-olah menjadi ‘jaguh kampung’ .Ini jelas satu sandiwara politik demi kepentingan diri sendiri,” ujarnya.
Tambah Bahrin lagi, tuduhan-tuduhan yang dilemparkan dalam sidang media tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa dan belum dibuktikan di mahkamah.
“Menggesa pengunduran pemimpin hanya berdasarkan dokumen yang belum disahkan sahih dan spekulasi liar adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Kita menghormati proses undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat secara adil dan profesional”, katanya.
Menurutnya, Hajiji telah menyatakan pendirian secara terbuka dan berani mengenai isu dana politik—isu yang tidak asing dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia. Warisan juga tidak terkecuali daripada realiti tersebut ketika mereka memerintah.