MACHANG, KELANTAN: Seorang lelaki berusia 46 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan kereta jenis Proton Wira yang dipandunya dengan sebuah lori treler di Kilometer 50.5, Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada jam 11.55 pagi, apabila kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung secara berdepan dengan lori treler yang datang dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.
“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Machang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165.
Pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.