Kunjungan Bahrain ke KUSKOP Teroka Peluang Kerjasama Strategik Dua Hala Dalam Bidang...

Kunjungan Bahrain ke KUSKOP Teroka Peluang Kerjasama Strategik Dua Hala Dalam Bidang PMKS

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat dua menteri dari Kerajaan Bahrain di pejabatnya di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, pada Selasa.

Delegasi Bahrain itu diketuai oleh H.E. Noor Ali Alkhulaif, Menteri Pembangunan Lestari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (EDB), serta H.E. Abdulla Adel Fakhro, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Bahrain (MOIC).

Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam bidang keusahawanan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perbincangan turut melibatkan pertukaran pandangan mengenai inisiatif bersama yang boleh dilaksanakan bagi memperkasa sektor PMKS, khususnya dalam sektor berimpak tinggi, berpotensi pertumbuhan besar serta pemerkasaan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan usahawan.

Delegasi Malaysia turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Haji Zamri Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan), Noor Afifah Abdul Razak serta ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP.

Pertemuan tersebut menzahirkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara Malaysia dan Bahrain dalam bidang keusahawanan dan pembangunan PKS selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi mampan serantau.