Pitchborneo 2023 Platform Cungkil Idea Perniagaan

Pitchborneo 2023 Platform Cungkil Idea Perniagaan

0
SHARE
Arifin
Arifin (tujuh dari kanan) bergambar bersama pemenang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Program Pitchborneo 2023 menjadi platform mencungkil idea perniagaan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurutnya, Pitchborneo merupakan program pertandingan pitching terbuka kepada usahawan baru dan berpengalaman bagi mencadangkan idea perniagaan mereka.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, program ini berjaya membantu ramai usahawan tempatan merealisasikan idea perniagaan mereka.

“Pada tahun ini, sebanyak 28 idea perniagaan berentap di peringkat akhir dan setiap idea ini memiliki kekuatan dan keunikan yang tersendiri.

“Amat diharapkan agar semua idea yang terpilih menjadi pemenang dapat memberi impak positif kepada Inovasi Sekuriti Makanan di negeri Sabah dan seterusnya membantu membangun ekonomi komuniti,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Pitchborneo 2023 : Food Security Innovation Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Ahad.

Arifin turut memaklumkan seramai 112 usahawan menerima dana bernilai RM20 ribu setiap usahawan sejak tahun 2011 dan telah memperkasakan lebih daripada 1,400 usahawan melalui program berkenaan.

“Tahun ini peserta-peserta akhir Pitchborneo sangat bertuah kerana selain daripada dana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), program ini juga mendapat dana tambahan sebanyak RM100,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Kepada pemenang dana, gunakanlah ruang dan peluang untuk menjadi sinar dalam kalangan para usahawan di Sabah agar dapat membantu diri, keluarga mahupun masyarakat setempat seterusnya menjadi inspirasi kepada usahawan yang lain,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut, pasangan suami isteri, Jimar Zamri dan Siti Subailah Suod menerima dana berjumlah RM35,000 melalui produk Microbella : Baja Mikrob Kulit Pisang, usahawan Tangud Briquette, Carlven Lenim menerima RM30,000 dan usahawan Salam Hijau, Maila Helen Dawalis menerima dana sebanyak RM25,000.

Manakala, setiap usahawan yang memenangi tempat keempat hingga kesepuluh memenangi dana berjumlah RM20,000 tempat ke-11 hingga ke-15 RM10,000 dan RM1,500 bagi setiap usahawan yang mendapat saguhati.

Hadir sama, Pengerusi Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Sulaiman Omar, Timbalan Setiausaha Tetap KSTI, Alijah Ismail dan Presiden Persatuan Usahawan Teknologi Sabah, Saverinus Kitingan. — JABATAN PENERANGAN SABAH