Pemakluman Kelahiran Dan Kematian Di Balai Polis Kerakit Mudahkan Urusan Penduduk Di...

Pemakluman Kelahiran Dan Kematian Di Balai Polis Kerakit Mudahkan Urusan Penduduk Di Pulau Banggi

0
SHARE

KUDAT, SABAH Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa prihatin dan komited untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang layak, dapat mendaftar dokumen pengenalan diri dengan mudah selaras dengan slogan JPN ‘Rakyat Di Hati JPN’.

JPN telah membuatpenyerahan bukurekodkelahiran dan kematian bagi kegunaan Balai Polis Kerakit susulan pengumuman YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin, Menteri Dalam Negeri semasa lawatan beliau ke Pulau Banggi pada 1 Oktober 2022 yang lalu di mana Balai Polis Kerakit akan menerima laporan kelahiran dan kematian yang berlaku di pulau tersebut.

Inisiatif tersebut diambil bertujuan untuk memudahkan penduduk memaklumkan kelahiran dan kematian yang berlaku memandangkan tiada pejabat JPNyang disediakan di pulau tersebut dan sebelum ini urusan pendaftaran tersebut dibuat dipejabat terdekat, iaitu JPN Daerah Kudat yang mengambil masa 1 jam dan 30 minit dengan menggunakan feri berbayar untuk sampai ke pejabat tersebut.

Dengan kemudahan ini, JPN berharap selain bukan sahaja memudahkan urusan masyarakat setempat, pemakluman kelahiran dapat dilakukan dalam tempoh 42 hari selepas kelahiran seperti yang termaktub di dalam Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (Sabah Cap 123) dan seterusnya mengurangkan kadar pendaftaran lewat kelahiran.

Pemakluman kelahiran dan kematian akan direkodkan oleh Balai Polis dan proses pendaftaran seterusnya akan dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang akan diadakan secara berkala di pulau tersebut mengikut keperluan.

Selain Balai Polis Karakit, terdapat 13 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh Negeri Sabah yang turut menerima pemakluman kelahiran dan kematian. Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel kepada pro@jpn.gov.my.