KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) siapsiaga untuk memastikan bekalan elektrik sepanjang proses Pilihanraya Umum (PRU) ke- 15 ini stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata SESB telah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di 26 Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berada dalam keadaan baik.
“SESB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik di lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin sepanjang musim pilihanraya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Ir. Ts. Mohd Yaakob, SESB telah mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sabah bagi membincangkan persediaan-persediaan untuk PRU serta memaklumkan langkah-langkah yang diambil oleh SESB untuk memastikan pepasangan SESB sentiasa dalam keadaan baik.
Pihak SESB juga akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan pendawaian dalaman dewan-dewan di bawah bidang kuasa JKR yang merangkumi pusat-pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi dalam keadaan teratur dan stabil.
Selain itu, SESB juga akan membuat pemeriksaan keselamatan dengan meningkatkan aktiviti rondaan oleh anggota polis bantuan SESB dan mengaktifkan bilik gerakan di Ibu Pejabat dan semua Pejabat Kawasan SESB seluruh Sabah.
“SESB juga akan menyediakan pasukan tunggu sedia di semua lokasi serta genset bergerak (mobile genset) di kawasan-kawasan kritikal,” katanya lagi…
SESB juga akan berkolaborasi bersama pihak JKR, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Perparitan & Saliran (JPS), syarikat telekomunikasi dan lain-lain untuk menghentikan sementara kerja-kerja yang melibatkan pengorekan berhampiran pepasangan SESB oleh kontraktor mereka bagi mengelak kejadian terkorek kabel SESB untuk tempoh 5 November 2022 sehingga 19 November
2022 bagi memastikan bekalan elektrik sentiasa berterusan.
Bilik gerakan SESB pula akan dibuka pada Hari Penamaan Calon (5 November 2022) dan Hari Pembuangan Undi/ Penjumlahan Rasmi Undi (19 November 2022) bagi memastikan komunikasi di antara SESB dan pihak-pihak tertentu dapat diurus secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, semua kerja-kerja terjadual yang telah dirancang awal dan melibatkan penutupan berjadual akan ditangguhkan kecuali penutupan bekalan yang melibatkan kerja-kerja kecemasan.