KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah hari ini diberikan kuasa autonomi lebih besar untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2.
Buat masa ini, pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam di Sabah dilaksanakan melalui perwakilan kuasa oleh Ketua Pengarah Perikanan menurut Akta Perikanan 1985 [Akta 317] kepada Pengarah Perikanan Negeri Sabah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk memberikan kuasa tersebut kepada Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
“Pemberian kuasa ini bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel dan peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama…
“MAFI juga sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Sabah supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan diambil kira dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985 [Akta 317].
“Saya berharap agar keputusan bersama ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri khususnya dari segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan perairan dan hubungan antarabangsa.
“Saya percaya inisiatif Kerajaan melalui pemberian kuasa ini akan dapat menjaga kepentingan Sabah dan keharmonian semua sebagai Keluarga Malaysia,” katanya pada taklimat di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Ronald berkata, pada masa yang sama, pihak Sabah juga boleh melaksanakan dasar-dasar sedia ada dan dasar-dasar baharu berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan di Sabah dengan mengikut norma-norma instrumen pengurusan perikanan antarabangsa.
“Bagi terus memperkasa sektor perikanan dan sektor pertanian negara secara umumnya, MAFI telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), yang bertujuan antara lainnya untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan nelayan serta penternak akuakultur…
“DAN 2.0 juga mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
“Selain DAN 2.0, galakan penerokaan perikanan laut dalam menerusi pemodenan vesel merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2030 (Pelan DSMN) untuk memastikan jaminan bekalan makanan sumber protein yang berterusan,” tambah beliau.
Menurutnya, industri perikanan Sabah mempunyai potensi pembangunan yang tinggi dan harus terus dikembangkan memandangkan pada ketika ini Negeri Sabah mempunyai seramai 30,486 orang nelayan yang menghasilkan sejumlah 206,703 tan metrik ikan setahun dengan nilai melebihi RM 1.2 bilion.
Baru-baru ini MAFI juga melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021– 2030 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021 – 2030 dalam membangunkan industri tuna negara selain meningkatkan pasaran produk berasaskan tuna yang bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dalam hal ini, saya yakin MAFI bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) akan terus membangunkan industri perikanan Sabah sebagai salah satu hab utama perikanan di Malaysia.





