PJKM Bantu Pengguna Dapatkan Pelbagai Barangan Keperluan Harian Dengan Harga Potongan 20%

PJKM Bantu Pengguna Dapatkan Pelbagai Barangan Keperluan Harian Dengan Harga Potongan 20%

0
SHARE

PUTATAN, SABAH – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang diadakan di perkarangan Majlis Daerah sini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir seribu orang pengunjung.

PJKM telah dilancarkan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Disember 2021 di Lembai Pantai, Kuala Lumpur dan kini diperluaskan ke seluruh negeri di Malaysia bermula pada 4 Disember 2021.

Turut membuat tinjauan di PJKM Sabah adalah Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Hj.Abdul Kahar dengan diiringi oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Taha Julai.

Georgie menjelaskan program tersebut merupakan kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan khususnya negara kita.

“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua (2) kali sebulan untuk tempoh tiga (3) bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di lokasi-lokasi yang akan ditentukan dan diumumkan kelak…

“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus (20%) lebih rendah daripada harga pasaran setempat,” katanya.

Haryani (kanan), Georgie (tengah) dan Taha (kiri) melawat sebuah gerai yang menjual minuman segera buatan tempatan…

Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses.

Dalam pada itu, agensi kerajaan yang terlibat dalam PJKM di Perkarangan Majlis Daerah Putatan pagi tadi ialah KPDNHEP Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD).

Georgie dan Haryani menjenguk sebuah gerai yang menjual makanan yang telah diproses..

Manakala Rakan Strategik dan Pemain Industri terdiri daripada BATARAS, Nestle, Imbas Jaya, Sazarice Sdn. Bhd., Kina Enterprise dan QL Resources Berhad.

“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah…

“KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara,” tegas Georgie.

Beliau menjamin Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, di Sabah khususnya, akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.