Mahkamah Lancar Kalkulator Hukuman Jenayah Hidupan Liar

Mahkamah Lancar Kalkulator Hukuman Jenayah Hidupan Liar

0
SHARE
Mahkamah
Abdul Rahman (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Mahkamah Sabah dan Sarawak melancarkan Kalkulator Garis Panduan Hukuman Jenayah Hidupan Liar.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, sistem berkenaan dibangun berdasarkan kepada garis panduan hukuman jenayah hidupan liar sedia ada.

“Sistem ini dibangunkan bagi memudahkan pengiraan penalti bagi jenayah hidupan liar berdasarkan formula yang disediakan dan kini berada dalam fasa kedua pembangunan sebelum ditambah elemen kecerdasan buatan.

“Manakala, fasa yang seterusnya adalah pengumpulan data yang mana hukuman yang dilulus berdasarkan kepada penggunaan sistem berkenaan akan disusun dan digabungkan.

“Fasa pengumpulan data dijangka akan berakhir pada penghujung tahun 2026 dan elemen kecerdasan buatan bakal diguna pakai dalam kalkulator garis panduan hukuman jenayah hidupan liar pada 2027.

“Walau bagaimanapun, sistem ini memerlukan pemantauan dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kebolehpercayaan kepada semua pemegang taruh,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kalkulator Garis Panduan Hukuman Jenayah Hidupan Liar di Kompleks Mahkamah, pada Jumaat.

Sementara itu, Abdul Rahman mengharapkan kerjasama berterusan bagi memastikan matlamat untuk memberi keadilan kepada hidupan liar dapat dicapai.

“Kita semua memainkan peranan yang penting dalam memerangi jenayah hidupan liar dan kita akan sentiasa perkembangan terkini berkaitan perundangan berkaitan di seluruh dunia,” tambahnya.

Garis Panduan Hukuman Jenayah Hidupan Liar di Sabah telah dilancarkan pada 22 Jun 2019 oleh mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah.

Manakala, Garis Panduan Hukuman Jenayah Hidupan Liar di Sarawak pula dilancarkan oleh mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim pada 6 Jun 2022.

Hadir sama, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Nixon Kennedy Kumbong dan Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Augustine Tuuga. — JABATAN PENERANGAN SABAH