DUN Merotai Jadi Tumpuan, Ruji Ubi Dikaitkan Sebagai Calon PKR Lawan Warisan

DUN Merotai Jadi Tumpuan, Ruji Ubi Dikaitkan Sebagai Calon PKR Lawan Warisan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai dijangka menjadi antara kerusi panas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, susulan khabar angin penyertaan seorang tokoh terkenal yang berkemungkinan besar mencabar kubu kuat Parti Warisan.

Tumpuan kini tertumpu kepada nama Datuk Ruji Ubi, Setiausaha Agung Kementerian Perpaduan di bawah kerajaan Madani, yang dikaitkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam senarai yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Walaupun ada penyokong PH mendakwa senarai itu sebagai berita palsu, penganalisis politik tempatan percaya penyertaan Ruji seorang anak jati Tawau, boleh menjadi strategi PKR untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat khususnya di kawasan pantai timur Sabah.

Penyandang kerusi DUN Merotai ketika ini ialah Sarifuddin Hata daripada Parti Warisan yang menang dalam PRN 2020 dengan majoriti 1,587 undi.

Namun begitu, dalam hantaran terbaharunya di media sosial semalam, Ruji langsung tidak mengesahkan atau menafikan spekulasi tersebut.

Sebaliknya, beliau hanya berkata mulai hari ini (21 Jun 2025), beliau telah bersara.

“Saya memilih untuk bersara awal pada usia 55 tahun. Saya mahu balik ke Tawau untuk ‘berkebun’,” tulis beliau secara berseloroh.

Ruji, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), turut pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung di Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak sama ada beliau akan bertanding atau tidak dalam PRN akan datang. Namun, desas-desus terus hangat diperkatakan menjelang pembubaran DUN Sabah.