KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Dun, menggesa pendekatan menyeluruh bagi menangani isu buli Dengan menegaskan undang-undang sahaja tidak memadai tanpa penguatkuasaan berkesan dan sistem yang meyakinkan mangsa untuk tampil membuat laporan.
“Undang-undang mungkin ada, tetapi tanpa penguatkuasaan ia tidak berfungsi.
“Ramai mangsa takut bersuara kerana bimbang akibatnya. Perlu ada sistem yang menjamin keselamatan mangsa untuk melapor,” katanya.
Azizah yang juga Pengerusi Institut Pembangunan Sabah (IDS) berkata pihaknya sedang mengkaji cara memperkukuh penguatkuasaan serta intervensi awal bagi mengelak tragedi seperti kes Zara berulang.
Beliau menekankan buli boleh berlaku di sekolah, tempat kerja dan dalam keluarga serta perlu ditangani di semua peringkat.
Katanya, kajian holistik penting bagi memahami punca buli dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa serta mengesan corak awal sebelum menjadi serius.
“Intervensi awal mesti dilakukan dengan penglibatan pakar, komuniti dan ibu bapa.
“Sekolah tidak boleh menjadi medan peperangan bagi pelajar sebaliknya perlu kekal selamat dan harmoni,” katanya.
Azizah turut mengingatkan dasar tidak diubah secara tergesa-gesa hanya berdasarkan satu kes, sebaliknya mesti berasaskan kajian terperinci dan konsensus nasional.






