UNHCR Mohon Sokongan Antarabangsa Terhadap Pelarian Rohingya

UNHCR Mohon Sokongan Antarabangsa Terhadap Pelarian Rohingya

0
SHARE

GENEVA – Sokongan antarabangsa yang berterusan diperlukan untuk pelarian Rohingya dan komuniti Bangladesh yang bermurah hati menerima kedatangan mereka, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Agensi-agensi kemanusiaan memerlukan dana melebihi AS$881 juta (RM3.7 bilion) untuk menyokong kira-kira 1.4 juta orang termasuk lebih 918,000 pelarian Rohingya di bandar Cox’s Bazar dan Bhasan Char.

“Ia juga akan membantu kira-kira 540,000 warga Bangladesh di kawasan kejiranan,” kata jurucakap UNHCR, Babar Baloch dalam satu sidang akhbar di Geneva, lapor akhbar Saudi Gazette.

Terdahulu, satu Pelan Tindak Balas Bersama (JRP) 2022 untuk Krisis Kemanusiaan Rohingya telah dilancarkan. Ia dihoskan bersama oleh kerajaan Bangladesh, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan UNHCR.

JRP menghimpunkan 136 rakan kongsi dengan 74 daripadanya adalah pertubuhan dari Bangladesh.

Selama beberapa dekad, masyarakat antarabangsa telah menyokong kerajaan Bangladesh kerana bermurah hati menerima pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, apabila anjakan global terus meningkat, UNHCR dan rakan kongsinya menekankan keperluan untuk memastikan orang ramai sentiasa mengingati situasi Rohingya dan menghalangnya daripada menjadi krisis yang dilupakan.

“Oleh itu, adalah penting untuk memastikan pembiayaan dan sokongan berterusan dalam memenuhi keperluan pelarian serta komuniti tuan rumah,” tambah Balock.