Rakyat Semakin Percaya Kemampuan Kerajaan GRS-PH Plus Terus Terajui Sabah – Abqaree

Rakyat Semakin Percaya Kemampuan Kerajaan GRS-PH Plus Terus Terajui Sabah – Abqaree

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Plus (GRS-PH Plus) terus menunjukkan keupayaan mentadbir negeri Sabah secara berkesan, stabil dan progresif, kata Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Abqaree Fawwaz Abekan.

Beliau berkata, pencapaian itu jelas melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan demi kebajikan rakyat Sabah termasuk penciptaan peluang pekerjaan, pemerkasaan keusahawanan, pembangunan infrastruktur luar bandar serta penambahbaikan sistem pendidikan dan kesihatan negeri.

“Inilah kerajaan yang bekerja, bukan sekadar berpolitik,” tegasnya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Serentak Sayap-Sayap Gagasan Rakyat Bahagian Darau yang berlangsung pada Ahad lalu.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi, dan menghimpunkan barisan kepimpinan serta ahli dari sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis.

Abqaree turut menyatakan keyakinannya bahawa rakyat semakin mempercayai kemampuan GRS-PH Plus dalam menerajui Sabah dan percaya kerajaan yang ada kini wajar terus diberikan mandat untuk memimpin negeri ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru ahli akar umbi untuk terus memperkukuhkan keahlian dan pengaruh parti agar Gagasan Rakyat menjadi pilihan utama rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita kena pastikan parti ini menjadi pilihan di kawasan ini. Kita harus menyantuni rakyat dan perjuangkan parti kita di kejiranan ini,” katanya, sambil menekankan pentingnya gerak kerja konsisten menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.