Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Bawa 7 Tan Beras Tanpa Permit di...

Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Bawa 7 Tan Beras Tanpa Permit di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan yang membawa 7 tan beras dan 510 kilogram minyak masak peket tanpa permit ditahan Maritim Malaysia di Kuala Sungai Tawau, semalam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali, bot tersebut dikesan melalui Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris ketika menuju ke Pulau Sebatik.

“Bot dikendalikan oleh seorang juragan lelaki tempatan berusia 20 tahun dengan dokumen pengenalan diri meragukan, serta seorang pembantu warga Indonesia berusia 25 tahun tanpa permit kerja sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada dokumen permit barang kawalan atau pengikraran kastam dikemukakan.

“Rampasan membabitkan 700 kampit beras (10kg setiap satu) dan 30 kotak minyak masak peket,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan hampir RM30,000, kata Ariffin.

Kes disiasat di bawah beberapa akta termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan kegiatan penyeludupan ke negara jiran susulan klip video tular di media sosial.