Parti Muda Akan Bincang Kedudukan Syed Saddiq Selepas Dibebas Mahkamah

Parti Muda Akan Bincang Kedudukan Syed Saddiq Selepas Dibebas Mahkamah

0
SHARE

PUTRAJAYA: Parti Muda akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan pembebasannya daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan akan ditentukan selepas perbincangan dalaman parti.

“Perkara ini akan dibincangkan malam ini,” katanya dipetik FMT di luar Mahkamah Rayuan.

Syed Saddiq yang sebelum ini disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023, telah dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara, denda RM10 juta dan dua sebatan, namun pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Beliau turut meletak jawatan sementara sebagai presiden Muda dan tidak terlibat dalam urusan parti sejak itu.

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa beliau sepatutnya dibebaskan tanpa perlu membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen utama pertuduhan.

Amira menyambut baik keputusan mahkamah dan menyifatkannya sebagai bukti kejujuran Syed Saddiq.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata sebarang keputusan sama ada beliau akan kembali menerajui Muda akan dibuat secara bersama dalam parti.