Kisah Perjalanan Haji Tanpa Visa Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Kisah Perjalanan Haji Tanpa Visa Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

0
SHARE

DATARAN gurun yang terbentang luas antara Riyadh dan Makkah, melalui celahan banjar Taif yang berbatu merah, pada hari itu menyaksikan deretan bas dan kenderaan membentuk arus manusia menuju ke Tanah Suci.

Jalannya sesak, bergerak perlahan, namun penuh dengan gema doa dan gema harapan. Wajah-wajah ceria, hati-hati teruja. Inilah musim haji-musim para jiwa mencari makna kembali kepada Tuhan.

Kami bertolak agak lewat. Seperti lazimnya, pengurusan keberangkatan para jemaah bukan perkara remeh. Pihak pengendali bas sibuk memastikan setiap penumpang berdaftar, lengkap bayaran, dan memiliki visa haji yang sah. Walaupun sepatutnya bertolak seawal pagi, hakikatnya kami bergerak menjelang tengah hari.

Kebanyakan penumpang terdiri daripada warga Indonesia, khususnya para supir dan pembantu rumah yang masih muda belia, dihantar dan dibiayai oleh majikan masing-masing. Hari itu adalah hari kerja, tetapi ramai majikan memberikan kebenaran dan bahkan membiayai perjalanan haji mereka.

Begitu juga saya. Majikan saya di Riyadh, seorang yang budiman yang berboskan seorang Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud, bukan sahaja mengizinkan saya berhaji, malah berhasrat menanggung keseluruhan kos. Beliau sering bertanya saya apa khabar setiap hari dan berbual tentang teknologi Internet.

Namun kerana visa saya sekadar dicop pada sekeping helaian kertas, saya memilih untuk tidak menaiki kapal terbang-bimbang disoal di lapangan terbang yang penuh dengan kawalan ketat.

Suasana dalam bas begitu riuh. Masing-masing tidak sabar. Pelbagai loghat Indonesia berkumandang, memperindah suasana. Saya duduk bersebelahan Abdul Rahman-nama yang dipilihnya selepas berhaji, sedang nama asal Jawanya saya sudah lupa. Abdul Rahman, seusia dengan saya, seolah-olah menjadi ketua kumpulan. Wibawanya terserlah. Bicaranya penuh nasihat, dan tutur katanya penuh makna. Seperti seorang ustaz.

Perbualan antara para jemaah banyak berkisar tentang manasik haji. Saya lebih banyak mendengar dan mencatat dalam hati. Tidak pernah menghadiri kursus haji, hanya berbekalkan pembacaan dan ingatan dari zaman kanak-kanak-sewaktu menemani arwah ayah mengajar bakal jemaah haji di Kuala Rompin

Ayah saya, seorang bekasulama dan kadi, telah mengajar ilmu haji kepada ratusan orang. Malah ayah menetap lama di Makkah dan sudah puluhan kali menunaikan haji. Cerita-ceritanya, ada yang lucu, ada yang menggetarkan. Semuanya kini kembali terlayar dalam minda.

Saya teringat satu kisah yang saya baca dalam akhbar. Seorang pesara kerajaan, katanya telah tiga kali ke Makkah tetapi gagal menjejak kaki ke Masjidil Haram. Rupanya, dalam pengakuannya kepada seorang ustaz, dia menyedari bahawa sebahagian besar harta dan simpanannya datang daripada sumber yang tidak halal-rasuah dan penyelewengan.

Katanya, hati dan tubuhnya seolah-olah ditolak keluar dari Tanah Suci. Lalu dia bertanya kepada ustaz, bagaimana mahu membersihkan harta agar dapat berhaji dengan sah dan diterima. Saya sudah lupa jawapan ustaz itu, tetapi soalan itu menghantui saya-takut jika rezeki yang saya miliki tidak bersih, lalu menafikan peluang keampunan di Tanah Suci.

Bas terus meluncur perlahan. Di dalamnya, suasana tetap meriah. Para wanita dan lelaki berbual, usik-mengusik, ketawa kecil. Ramai yang sudah berkahwin, tetapi pasangan mereka berada di tanah air. Ada juga yang tanpa mahram. Saya tertanya-tanya, tetapi tiada siapa menyoal. Mungkin kerana semuanya percaya kepada niat dan doa.

Tiba-tiba, bas berhenti. Sekatan jalan raya pertama. Beberapa anggota keselamatan-mungkin polis, mungkin tentera-naik ke atas. Seorang daripadanya melaung, “Indonisi?”

“Naam!” jawab para jemaah serentak. Suara bersatu itu memberi semangat.

Pemeriksaan pasport bermula. Saya menggenggam tangan, menahan gelisah. Berdebar. Hati berseru-seru kepada Allah agar dilindungi. Tempat duduk saya hampir ke belakang, di sisi Abdul Rahman. Apabila polis itu menghampiri saya, dia bertanya dalam bahasa Arab, “Anta tayyib?”-“Kamu baik-baik saja?”

Saya tidak pasti apakah wajah saya begitu pucat, atau badan saya sudah menggigil. Dengan tenang, saya menjawab, “Khair”-baik.

Dia tersenyum dan melangkah pergi, tanpa memeriksa pasport saya. “Yallah, khalas,” katanya. Selesai. Alhamdulillah. Saya bersyukur. Abdul Rahman menepuk bahu saya. Begitu juga beberapa yang lain. Mereka tahu keadaan saya tanpa visa.

Bas meneruskan perjalanan. Ramai yang tertidur. Kami berhenti di sebuah hentian kecil untuk menunaikan solat jamak. Tandanya kotor, tiada sistematik seperti R&R di Malaysia. Namun siapa yang kisah. Karmi bermusafir kerana Allah.

Sekatan kedua pula menyusul. Polis naik lagi. Kali ini, dia memilih kerusi secara rambang. Saya kembali debar. Penumpang di kiri kanan saya dimintanya menunjukkan pasport. Saya? Tidak. Sekali lagi, Allah selamatkan saya.

Maghrib mula menjelma. Kami berhenti makan dan menunaikan solat di sebuah restoran. Perjalanan diteruskan. Sekatan ketiga pula menanti.

“Indonisi?” soal polis. “Naam!”

Dia naik. Wajahnya ramah. Sambil berjalan ke belakang, ke arah saya, dia menyebut, “Indonisi bagus-bagus!” Kami ketawa. Dia hanya memeriksa satu pasport, kemudian turun. Mungkin letih. Mungkin bosan. Atau mungkin hidayah Tuhan menyelimuti perjalanan ini.

Sekatan itu menjadi yang terakhir. Kami tiba di Taif, lokasi miqat untuk berniat ihram. Malam sudah pekat. Hanya lampu-lampu bas dan kedai yang menyinari suasana. Manusia bersesak. Tandas sesak. Barisan panjang. Saya mandi, bersuci, mengenakan ihram, dan solat. Namun, dalam keghairahan itu, saya terlupa lokasi bas. Semua bas kelihatan sama. Semua jemaah berpakaian seragam ihram. Saya tersesat.

Allah Maha Pengasih. Abdul Rahman menyedari kehilangan saya. Dia mencari saya. Akhirnya, kami bertemu dan kembali ke bas. Rupanya, bas kami juga telah berpindah lokasi parkir. Saya benar-benar bersyukur.

Tiada lagi sekatan selepas itu. Bas mula bergerak ke arah Makkah. Dalam laungan beramai-ramai yang menggema, “Labbayka Allahumma labbayk”, air mata saya gugur. Terasa kerdil. Terasa disapa kasih Tuhan. Masjidil Haram yang bercahaya dari kejauhan menggetarkan jiwa. Dalam malam itu, dalam gelita luar dan terang dalam hati, saya hanya mampu berdoa terima kasih, ya Allah.

Kami tiba dua hari sebelum wukuf. Bas kami berhenti di asrama Indonesia berhampiran Mina. Saya sujud dalam hati. Tidak pernah saya rancang perjalanan ini. Namun bila Allah menjemput, tidak ada siapa yang mampu menahan.

Benarlah kata-kata pegawai Arab dari Kementerian Haji di Riyadh yang terngiang-ngiang dalam ingatan saya, “Pergilah tetamu Allah, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu.”

Subhanallah. Maha Suci Allah yang mengatur setiap langkah dalam kehidupan hamba-Nya.

Semoga menjadi saksi perjalanan hati menuju Tuhan. –DagangNews.com