TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berkaitan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini menyatakan bahawa UMNO hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN nanti.
“Itu pandangan Datuk Seri Bung Moktar. Bagi pihak GRS, kita belum buat apa-apa keputusan,” ujar Hajiji kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan 200 ekor lembu korban di sini, hari ini.
Jelas beliau, sebarang ketetapan mengenai kerjasama politik, pengagihan kerusi, dan hala tuju gabungan akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat.
“Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN-17, termasuk siapa dan parti apa yang akan menjadi rakan kerjasama, serta pembahagian kerusi,” katanya.
Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, menegaskan bahawa GRS akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan kestabilan politik negeri, tanpa terburu-buru dalam menentukan gabungan pilihan mereka.
GRS dijangka menjadi antara blok utama dalam PRN-17 yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti besar di Sabah termasuk UMNO, Warisan, dan Pakatan Harapan.






