BERNAS Selaraskan Harga Beras RM3,200 Per Tan

BERNAS Selaraskan Harga Beras RM3,200 Per Tan

0
SHARE
Padi
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa semalam.

Memetik sumber Berita Harian, BERNAS dalam satu kenyataan berkata, langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Ia berkata, BERNAS mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

Katanya, faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.

“BERNAS telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Walau bagaimanapun, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini,” katanya.

Seiring dengan langkah peningkatan harga itu, BERNAS memberi jaminan bekalan beras akan kekal stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaannya.

Kumpulan juga, katanya menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi tujuan itu.

Katanya, walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, BERNAS kekal utuh dan berdaya saing.

“Kami turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk.

“Ini adalah peranan kami sebagai ‘gatekeeper’ tunggal bagi padi dan beras negara,” katanya.

BERNAS juga akan kekal komited untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, bertindak sebagai penyerap kejutan bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa dari melanda negara.

Katanya, ia akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.

“Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah,” katanya.