Pindahkan Pelajar Terlibat Gempur Rasuah ke Semenanjung – Pemuda GRS Beaufort

Pindahkan Pelajar Terlibat Gempur Rasuah ke Semenanjung – Pemuda GRS Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Ketua Pemuda GRS Beaufort, Mohd. Shahril Osin mencadangkan agar 13 mahasiswa yang terlibat dalam himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 dipindahkan ke universiti di Semenanjung atau negeri asal masing-masing, meskipun menyokong keputusan untuk tidak membuang mereka dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kita tidak mahu budaya tidak menghormati undang-undang negeri Sabah menular. Kalau mereka tidak minat belajar di UMS dan hanya menjadikan kampus medan politik, lebih baik pindah,” katanya.

Shahril mendakwa kebanyakan pelajar terlibat adalah dari Semenanjung dan dipengaruhi parti pembangkang. Beliau turut menyelar kehadiran pemimpin pembangkang dalam perhimpunan yang menurutnya cuba mencemarkan imej kerajaan negeri.

“Kalau serius mahu lawan rasuah, pergilah berarak di negeri sendiri seperti Selangor atau Pulau Pinang,” tegasnya.

Beliau juga menggesa Menteri Pendidikan Tinggi bertanggungjawab terhadap isu di UMS termasuk masalah air dan kebajikan pelajar, serta menegaskan pelajar yang tidak berpuas hati wajar memohon pertukaran ke universiti lain.

Shahril memberi amaran insiden ini mengandungi unsur hasutan dan boleh menjejaskan kestabilan Sabah menjelang PRN ke-17.

“Kami tolak rasuah, tapi kami juga tolak perjuangan yang mempergunakan mahasiswa,” ujarnya.

Beliau menyeru agar universiti dihormati sebagai tempat menimba ilmu, bukan medan propaganda politik.