LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, petang tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian jam 2.34 petang itu melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Hilux dan lori 10 tan.
Penumpang Myvi, wanita berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lelaki berusia 69 tahun mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital oleh pasukan EMRS.
“Tiga lagi mangsa termasuk dua lelaki menaiki Hilux (60 dan 62 tahun) serta pemandu lori (24 tahun) tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata pegawai jurucakap agensi.
Operasi melibatkan 8 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bersama bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, tamat sepenuhnya pada jam 3.20 petang.






