Kerajaan Negeri Terus Komited Pastikan Pembangunan Wanita Di Sabah

Kerajaan Negeri Terus Komited Pastikan Pembangunan Wanita Di Sabah

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor bersama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong bersama barisan Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Hajah Tarsiah @ Tarisah Haji TZ Taman selepas majlis angkat sumpah di Bilik Mesyuarat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri terus komited untuk memastikan pembangunan wanita sebagai salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan dalam konteks pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata ini kerana kaum wanita dilihat sebagai salah satu komponen modal insan yang amat penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat, selain pembangunan ekonomi negeri serta negara.

Atas komitmen itu juga katanya, dalam Belanjawan Sabah 2021, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15.66 juta untuk program pembangunan wanita di Sabah, bagi memastikan golongan ini mendapat peluang dan faedah daripada pembangunan.

“Ini termasuklah peruntukan di bawah Yayasan Usaha Maju (YUM) berjumlah RM9.80 juta yang melibatkan pengurusan operasi dan penyediaan kemudahan pinjaman mikro kepada wanita. Sebanyak RM5.86 juta pula kepada Jabatan Hal-Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah untuk mengadakan pelbagai program dan kursus kemahiran kepada ibu tunggal serta wanita dalam golongan miskin…

“Peruntukan itu sebagai bukt kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kebajikan wanita di negeri ini,” katanya pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) 2021/2022 di bilik mesyuarat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menandatangani watikah pelantikan Datuk Dr Hajah Tarsiah @ Tarisah Haji TZ Taman sebagai Pengerusi MPWS bagi sesi 2021/2022 sempena majlis angkat sumpah MPWS, di Bilik Mesyuarat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini…

 

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki dan Flovia Ng; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Rusnah Kuyung dan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr Hajah Tarsiah Taman.

Hajiji turut meminta kepada semua ahli jawatankuasa MPWS ini akan terus memastikan wanita di Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis angkat sumpah Ahli Majlis Penasihat Wanita (MPWS) bagi sesi 2021/2022 yang diketuai oleh Pengerusi MPWS, Datuk Dr Hajah Tarsiah @ Tarisah Haji TZ Taman di Bilik Mesyuarat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini…

“Saya berharap kepemimpinan MPWS yang baharu ini akan dapat memperkasa pembangunan wanita di negeri ini, khususnya di luar bandar. Ini termasuk memperhebatkan aktiviti yang boleh meningkatkan sosio ekonomi wanita di negeri ini, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Saya juga maklum ada tujuh jawatankuasa kecil yang diwujudkan bagi menggerakkan usaha membangun dan memajukan wanita di negeri ini. Jawatankuasa itu adalah ekonomi, pendidikan, kesihatan, gender, sosial, undang-undang dan media.

“Saya melihat jawatankuasa ini adalah teras bagi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berkaitan modal insan dan kesejahtaraan rakyat,” katanya yang turut merakamkan syabas dan tahniah kepada semua barisan baharu MPWS.