PUTRAJAYA – Hasil kajian jurang harga barangan keperluan antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mendapati bahawa tidak semua barang di Sabah lebih mahal.
Kajian itu dibuat berdasarkan laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Disember 2020 kata Menteri agensi itu Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“Kementerian mengambil maklum bahawa perbelanjaan utama isi rumah meliputi makanan dan minuman bukan alkohol mendominasi perbelanjaan sebanyak 29.5%, diikuti dengan perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti seperti air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 23.8% dan Pengangkutan 14.6%.
“Nilai bakul di Sabah dan Sarawak adalah lebih murah bagi makanan laut segar dan susu cair atau pekat berbanding Semenanjung…
“Sabah turut mencatatkan nilai bakul lebih murah bagi keluaran lain yang dibuat daripada bijirin,
daging segar, susu segar dan dibancuh semula, sayur-sayuran segar dan ubi kentang dan ubi berbanding Semenanjun,” jelas beliau dalam sebuah kenyataan.
Sarawak pula menunjukkan nilai bakul lebih murah bagi kelapa dan kacang dan sayur-sayuran yang dikering atau dijeruk berbanding Semenanjung.
“Berdasarkan analisa ini, Sarawak, Sabah dan Semenanjung tidak menunjukkan jurang perbezaan harga yang ketara memandangkan bakul di Sabah dan Sarawak diimbangi dengan barangan yang lebih murah berbanding Semenanjung.”
Oleh itu, Alexander menasihati semua pengguna mengambil peluang iuntuk melaksanakan perbelanjaan yang lebih bijak.
“Kos pengangkutan telah dikenalpasti sebagai faktor utama yang mempengaruhi perbezaan harga terutama bagi barang-barang keperluan yang tidak berasal atau diproses di Sabah dan Sarawak…
“Begitu juga dengan kos pengangkutan untuk membawa barang-barang keperluan tersebut dari pelabuhan dan Bandar Besar di Sabah dan Sarawak ke kawasan pedalaman yang ada diantaranya terpaksa menggunakan jalan air,” dia berkata.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Maritim Malaysia (Mima) dan Bank Dunia mendapati bahawa tidak ada penurunan harga barang di Sabah sejak Malaysia meliberalisasikan dasar kabotaj di Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 1 Jun 2017.
Faktor lain yang menyumbang kepada ketidakseimbangan harga diantara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kata beliau termasuklah saluran pengedaran yang lemah, ketidakcekapan pelabuhan, caj pengendalian yang tinggi, dan pengangkutan darat yang tidak cekap dan faktor lain yang telah dikenalpasti.
“Pada masa ini, Kerajaan sedang mengkaji mekanisme baharu seperti mewujudkan hab Agro-makanan di Sabah dan Sarawak sebagai salah satu usaha untuk mengatasi masalah perbezaan harga di kedua-dua negeri ini…
“Saya berpendapat idea ini harus diberi tumpuan mengambil kira kelebihan Sabah dan Sarawak yang mempunyai kawasan yang luas bagi melaksanakan projek hab Agro-makanan.
“Usaha meningkatkan platform e-Dagang serta menambah baik perhubungan peringkat akhir (last mile connectivity) bagi perhubungan dan penggangkutan dapat mengurangkan jurang perbezaan harga barangan antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan dan sekaligus mengurangkan kos sara hidup di ketiga-tiga kawasan ini,” tambahnya lagi.