Tengku Hassanal Berjaya ‘Tawan’ Puncak Gunung Kinabalu

Tengku Hassanal Berjaya ‘Tawan’ Puncak Gunung Kinabalu

0
SHARE

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dari aras laut sempena Ekspedisi Mahkota Borneo pada jam 8.25 pagi, hari ini.

Kejayaan itu disifatkan mencerminkan semangat ketahanan, disiplin dan kepimpinan selain mempromosikan keindahan Sabah serta Gunung Kinabalu sebagai antara mercu tanda ikonik negara.

Penolong Pengurus Taman, Unit Penyelamatan dan Krisis, Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan Taman-Taman Sabah, Julaimin Kamin berkata, Tengku Hassanal bersama rombongan memulakan pendakian pada jam 3.07 pagi selepas tiba di Panalaban pada jam 3.45 petang semalam.

Menurut beliau, seramai 46 pegawai daripada Majlis Kesultanan Pahang (MKP) dan Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) turut menyertai pendakian berkenaan.

Turut mengiringi pendakian itu ialah Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Ekspedisi Mahkota Borneo yang bermula Isnin lalu dijadual berakhir esok.

Untuk rekod, pada 3 Ogos 2020, Tengku Hassanal mencipta sejarah sebagai Tengku Mahkota Pahang pertama berjaya mendaki Gunung Tahan di Lipis yang merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Gunung Kinabalu berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan terletak dalam kawasan Taman Kinabalu seluas 754 kilometer persegi.

Taman Kinabalu yang diwartakan pada 1964 berfungsi sebagai kawasan konservasi biodiversiti dan merupakan Tapak Warisan Dunia pertama negara yang diiktiraf UNESCO.