Pelajar Pulang Semasa Cuti Tahun Baharu Cina Tidak Dibenarkan Kembali Ke Asrama...

Pelajar Pulang Semasa Cuti Tahun Baharu Cina Tidak Dibenarkan Kembali Ke Asrama – KPM

0
SHARE

PUTRAJAYA – Pelajar bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini tidak dibenarkan untuk kembali semula ke asrama, umum Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelajar yang tidak dibenarkan kemabali ke asrama sebaliknya akan mengikuti proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sepenuhnya.

“Keputusan itu dibuat bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berada dalam keadaan terlindung dan dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat serta teratur…

“Kita akan pastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama dibawah KPM dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Radzi berkata KPM juga akan meningkatkan pemantauan di sekolah harian agar SOP dipatuhi dengan baik.

Jelasnya, ibu bapa juga berperanan memastikan anak-anak tidak hadir ke sekolah jika mengalami apa-apa gejala terutama apabila sekolah beroperasi semula bermula minggu depan.

“Saya mohon jasa baik ibu bapa untuk memastikan anak tidak hadir ke sekolah jika ada sebarang gejala bagi memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat,” katanya.