Apple Dalam Usaha Bangunkan Perisian Kesan Depresi, Autisme Dan Alzheimer

Apple Dalam Usaha Bangunkan Perisian Kesan Depresi, Autisme Dan Alzheimer

0
SHARE

AMERIKA SYARIKAT – Pengguna gajet Apple bakal memperolehi ciri-ciri baharu pada peranti mereka masing-masing di mana mereka boleh mengesan masalah tekanan perasaan, kegelisahan, autisme dan Alzheimer.

Menurut New York Post yang memetik Wall Street Journal semalam, syarikat teknologi, Apple Inc yang berpengaruh di dunia ini sedang membangunkan perisian baharu dalam teknologi gajetnya yang mana mampu mengesan beberapa tahap dan masalah kesihatan tersebut.

Ciri-ciri kemerosotan dan penurunan kognitif yang dilaporkan akan menggunakan data peribadi yang dikumpulkan oleh sensor pada peranti Apple seperti iPhone dan Apple Watches.

Ia termasuk maklumat berkaitan corak tidur pengguna, aktiviti fizikal, tingkah laku menaip dan banyak lagi.

Apple turut dilaporkan sedang membangunkan peranti perisian itu bersama para penyelidik dari University California, Los Angeles.

Gergasi teknologi itu juga bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal Biogen Inc. yang sedang menjalankan kajian mengenai penurunan kognitif dalam penyakit Alzheimer.

Kerjasama ketiga yang dilaporkan dalam pembangunan perisian itu adalah dengan Universiti Duke iaitu menggunakan kamera iPhone untuk memerhatikan tingkah laku fizikal anak-anak dan membantu mengesan autisme.

Projek tersebut dilaporkan masih berada di tahap penyelidikan awal dan belum ada sebarang pengesahan sama ada produk akhirnya akan diperkenalkan kepada umum atau tidak.