KOTA KINABALU: Kecemerlangan akademik tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan kesejahteraan emosi golongan muda, khususnya Generasi Z yang berdepan pelbagai tekanan dan cabaran kehidupan masa kini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pembangunan generasi muda bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi kematangan emosi, keyakinan diri dan keupayaan mengurus tekanan.
Menurutnya, meskipun Generasi Z mempunyai akses luas kepada teknologi dan pendidikan, mereka turut terdedah kepada tekanan sosial, buli siber serta ketidaktentuan masa depan.
“Mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi masa depan memerlukan lebih daripada kecemerlangan akademik. Kita juga perlu memastikan mereka mempunyai kematangan emosi, keyakinan diri dan daya tahan untuk mengurus tekanan serta cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Cabaran dan Peluang Generasi Z anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Julita menggesa ibu bapa supaya lebih peka terhadap cabaran emosi anak-anak dengan mengamalkan komunikasi terbuka dan menyediakan ruang selamat untuk mereka meluahkan perasaan tanpa takut dihakimi.
“Ada kalanya, apa yang diperlukan oleh golongan muda bukanlah kritikan atau nasihat serta-merta, tetapi seseorang yang sanggup mendengar dan memahami apa yang sedang mereka lalui,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan emosi serta pembangunan menyeluruh Generasi Z.






