Sebanyak 3.5 Juta Diperlukan Untuk Naik Taraf Sistem Audio DUN Sabah

Sebanyak 3.5 Juta Diperlukan Untuk Naik Taraf Sistem Audio DUN Sabah

0
SHARE
Ir Ali Ahmad (dua dari kanan) meninjau petugas-petugas dari JKR yang mengendalikan sistem audio di bangunan DUN Sabah kemarin (22 Sept)...

KOTA KINABALU, SABAH – Sistem Audio di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dinaik taraf dari sistem analog kepada sistem digital kata Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir. Ali Ahmad Hamid.

Beliau berkata proses naik taraf ini perlu dilaksana supaya selaras dengan perubahan semasa dimana kebanyakan dewan-dewan persidangan termasuk acara rasmi kerajaan ketika ini mengunakan sistem audio digital.

“Sudah tiba masanya sistem audio yang sedia ada yang digunakan sejak tahun 2008 lagi dinaik taraf kepada sistem audio digital bagi mendapatkan kesan suara yang lebih jelas ketika dewan sedang bersidang,” katanya selepas melakukan tinjuan dipusat audio kendalian Jabatan Kerjaya Raya (JKR) DUN kelmarin.

Untuk rekod, pihak JKR ditugaskan menjaga sistem audio semasa DUN bersidang yang melibatkan sekitar enam (6) hingga lapan (8) orang petugas termasuklah membuat rakaman secara langsung semasa DUN bersidang yang dimuat naik ke portal media DUN dan YouTube.

Menurut Ali, pihaknya ketika ini terpaksa menggunakan sistem analog yang sedia ada dengan mengubah suai dan menambah beberapa peralatan digital bagi memastikan sistem audio tidak terjejas ketika perbahasan sedang berlangsung.

Selain itu katanya kakitangan yang bertugas terpaksa turun naik ke dalam dewan untuk memastikan sistem audio berfungsi dengan baik sebelum persidangan bermula.

“Cara ini tidak begitu efektif kerana mengubah suai sistem analog kepada digital secara berperingkat peringkat akan memakan kos yang tinggi bagi membeli peralatan audio digital…

“Walaupun peralatan yang dibeli kecil tapi harganya terlalu tinggi, justeru pilihan terbaik kita tukar secara keseluruhanya sistem analog yang ada kepada sistem digital,” katanya.

Ali berkata perkara tersbut telah pun dibincangkan dengan Speaker Datuk Kadzim M Yahya dan bersetuju agar sistem audio yang sedia ada ketika ini seharusnya dinaik taraf kepada sistem audio digital setanding dengan sistem audio yang terdapat di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Bagi tujuan untuk menaiktaraf sistem audio digital ini, Ir Ali Ahmad berkata dianggarkan ianya akan menelan kos sekitar 3.5 juta.

“Pihak kami (JKR) akan mengemukan kertas kerja dan anggaran kos yang diperlukan secepat mungkin kepada Speaker DUN untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ali menambah selain itu beberapa cadangan lain dalam kerja-kerja menaik taraf ini termasuklah pemasangan video digital dan skrin TV yang diletakan di kerusi setiap ADUN untuk kemudahan mereka semasa bersidang.