KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan (WARISAN), disifatkan semakin terdesak sehingga membuat tuduhan dan andaian jahat terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Naib Presiden II Gagasan Rakyat, Datuk Rubin Balang berkata, WARISAN yang semakin hilangan sokongan dan pengaruh sengaja membuat tuduhan jahat dan tidak berasas terhadap GRS dan Gagasan Rakyat.
Beliau berkata, dakwaan WARISAN bahawa GRS dan Gagasan Rakyat akan meninggalkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan seperti yang didakwa oleh Ketua Penerangannya Datuk Mohd Azis Jamman merupakan tuduhan yang berniat jahat tanpa sebarang bukti.
Menurutnya, parti terbabit yang menghadapi krisis sokongan berikutan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli-ahli dan penyokongnya meninggalkan parti tu, terpaksa menggunakan helah GRS dan Gagasan Rakyat akan tinggalkan Perdana Menteri untuk mendapatkan perhatian penyokong dan rakyat.
“Ini amat jelas bahawa WARISAN semakin terdesak dan bimbang dengan pengaruh dan kekuatan GRS dan Gagasan Rakyat yang semakin mendapat sokongan daripada rakyat negeri ini”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Rubin mengulas kenyataan Aziz yang mendakwa GRS dan Gagasan Rakyat akan menjadi parti pertama meninggalkan Perdana Menteri jika politik negara bergolak sekali lagi.
Katanya, Aziz tidak perlu bimbang terhadap soal sokongan GRS dan Gagasan Rakyat kepada Perdana Menteri sebaliknya beliau sepatutnya bimbang dengan ‘trend’ semakin ramai pemimpin dan ahli WARISAN meninggalkan parti terbabit sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, tidak timbul soal GRS dan Gagasan Rakyat akan meninggalkan Perdana Menteri kerana persefahaman, hubungan dan kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji dan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar.