KOTA KINABALU: Landskap politik di Kinabatangan dan Lamag kini memperlihatkan isyarat awal kerjasama yang semakin matang antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), apabila kedua-dua gabungan itu dijangka mempertaruhkan kepimpinan generasi muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, Barisan Nasional telah secara rasmi mengumumkan Naim Kurniawan Moktar sebagai calon, susulan pengumuman dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pencalonan itu dilihat sebagai kesinambungan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, di samping membawa wajah baharu generasi muda dalam arena politik nasional.
Sementara itu, di peringkat DUN Lamag, menurut sumber parti, nama Johainizamshah Johari mula disebut-sebut oleh akar umbi sebagai antara individu yang berpotensi diketengahkan sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil dan dinamika politik semasa kekal tidak berubah.
Menurut sumber dalaman, kecenderungan tersebut lahir daripada keperluan kesinambungan kepimpinan tempatan, selain penerimaan baik masyarakat terhadap pendekatan belia yang dibawa Johainizamshah ketika berkhidmat sebagai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag.
Beliau dikatakan mempunyai kelebihan dari segi pemahaman mendalam terhadap isu setempat, hubungan rapat dengan penduduk, serta pengalaman mengurus keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Mengulas prestasi pilihan raya lalu, sumber itu menjelaskan bahawa keputusan di DUN Lamag dipengaruhi oleh perpecahan undi, termasuk faktor dalaman yang menyebabkan sebahagian sokongan beralih kepada calon bebas.
“Ketika itu undi tidak bersatu. Namun selepas pilihan raya, semakin ramai pengundi menyedari bahawa jika kekuatan digabungkan, keputusan mungkin berbeza,” katanya.
Dalam konteks itu, gabungan BN di peringkat Parlimen dan GRS di peringkat DUN dilihat sebagai formula yang mampu menstabilkan landskap politik Kinabatangan–Lamag, sekali gus mencerminkan kematangan kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.
Bagaimanapun, sumber menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan rasmi dibuat setakat ini berhubung pencalonan bagi DUN Lamag, dan sebarang pengumuman hanya akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi GRS dalam masa terdekat.






