Penguatkuasa MOTAC Diminta Siasat Aduan Manipulasi Harga Pakej Pelancongan

Penguatkuasa MOTAC Diminta Siasat Aduan Manipulasi Harga Pakej Pelancongan

0
SHARE
Datuk Jafry Ariffin...

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin meminta pasukan penguatkuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah untuk membuat siasatan berhubung aduan memanipulasi harga pakej pelancongan oleh ejen pelancongan yang tidak berdaftar di daerah Semporna.

Beliau berkata perkara itu dipandang serius dan mahu pihak berwajib segera mengambil tindakan sebelum mendatangkan masalah besar kepada industri pelancongan di daerah itu.

Baru-baru ini, persatuan Semporna Profesional Divers Association (SPDA) melaporkan ramai ejen pelancongan yang tidak berdaftar telah menurunkan harga sehingga separuh daripada harga yang sepatutnya.

“Sikap tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerugian kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar kerana pelancong lebih memilih untuk menggunakan khidmat ejen yang tidak berdaftar disebabkan pakej yang lebih murah…

“Ia bukan semata-mata memberi kerugian kepada ejen lain tetapi juga melibatkan keselamatan pelancong itu sendiri.

“Ejen tidak berdaftar ini tidak mempunyai kemahiran khususnya cara menyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua agen pelancongan berdaftar agar terus mengekalkan harga pakej percutian dan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga terutama di waktu pelancongan domestik sedang berkembang semula.