KUDAT: Seorang wanita warga emas dilaporkan rentung dalam satu kejadian kebakaran rumah di Kampung Pituru, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 10.10 malam.
“Lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan 40×20 terbakar 100 peratus.
“Turut musnah terbakar sebuah kenderaan Perodua Kembara dan kebakaran telah dipadamkan oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan Bomba,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, mangsa yang rentung, Lo Hiong Lan, 76 tahun telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Pemeriksaan telah dijalankan di sekitar kawasan kejadian dan memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi seterusnya ditamatkan pada jam 2.25 pagi,” jelasnya.