Laporan Kes Kematian Pakar Perubatan Patologi Siap 15 Disember

Laporan Kes Kematian Pakar Perubatan Patologi Siap 15 Disember

0
SHARE
Borhan Dolah
bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah

KUALA LUMPUR – Pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah, menyasarkan untuk menyelesaikan laporan berhubung kejadian itu, seawal 15 Disember ini.

Memetik sumber Berita Harian, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah yang diberi tanggungjawab mempengerusikan pasukan itu, berkata laporan terbabit kemudian akan dibentangkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kita jangka menjelang Januari depan akan ada keputusan hasil siasatan berhubung dakwaan terbabit.

“Pasukan petugas ini akan dikuatkuasakan Jumaat ini dan kita jangka mesyuarat diadakan secepat mungkin selepas penguatkuasaannya, bagi tujuan pengumpulan maklumat serta maklum balas.

“Daripada situ, kita akan melaksanakan siasatan berdasarkan pembentangan maklumat yang ada,” katanya.

Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bebas berkuat kuasa 10 Oktober ini, bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah.

Penubuhan pasukan petugas khas bebas ini selari pendirian tegas KKM tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.

Pasukan itu turut dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.

Mereka antaranya ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, dan mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang berkhidmat dengan KKM selama 35 tahun, Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pakar di hospital Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya pada 29 Ogos lepas, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Pada masa sama, Borhan berkata, berdasarkan garis panduan pasukan itu, laporan hasil siasatan perlu disiapkan dalam masa tiga bulan.

Beliau berkata, selain melaksanakan siasatan, pasukan juga diberi tanggungjawab menganalisis input daripada siasatan insiden kematian dan budaya kerja di hospital itu.

“Fungsi pasukan juga perlu mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud insiden buli itu dan faktor menyumbang ke arah itu.

“Pasukan juga bertanggungjawab menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian mangsa dan cadangan penambahbaikan bagi mencegah serta menangani tindakan buli di fasiliti kesihatan itu,” katanya.