KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan perkara yang boleh diputuskan sebagai budi bicara kerajaan.
SLS merujuk kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan Persekutuan berhasrat memuktamadkan parameter teknikal berkaitan hak 40 peratus itu menjelang pertengahan Januari 2026.
Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, kejelasan mengenai kaedah pengiraan, jumlah dan struktur pembayaran amat penting untuk pelaksanaan yang berkesan.
Namun, beliau menegaskan Hak 40 peratus hasil Sabah bukan geran ihsan atau polisi baharu.
“Ia datang daripada peruntukan jelas Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia,” tegasnya.
SLS berkata sebarang penetapan teknikal mesti dilakukan sebagai pematuhan Perlembagaan.
“Mekanisme pelaksanaan tidak boleh mengurangkan, menangguh atau mentakrif semula hak yang telah pun wujud,” menurut kenyataan itu.
SLS juga menjelaskan bahawa prosiding rayuan berkaitan hak tersebut masih berjalan di mahkamah.
Perbincangan antara kerajaan tidak menjejaskan tindakan undang-undang yang sedang berlangsung.
“Segala proses undang-undang ini demi kepentingan awam bagi menjamin kepastian undang-undang, ketaatan kepada Perlembagaan dan ketelusan dalam menjaga hak Sabah,” katanya.
SLS berkata untuk akan terus mengikuti perkembangan dan komited memastikan hak Sabah dihormati dalam undang-undang serta pelaksanaan.






