KCCI Rakan Strategik Utama Kerajaan Jayakan Agenda Sabah First

KCCI Rakan Strategik Utama Kerajaan Jayakan Agenda Sabah First

0
SHARE

PENAMPANG: Dewan Perniagaan dan Perindustrian KadazanDusun (KCCI) disifatkan sebagai rakan strategik utama kerajaan dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan serta menjayakan agenda Sabah First, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, KCCI bukan sahaja menjadi suara usahawan tempatan, malah memainkan peranan penting membina rangkaian perniagaan dan memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri melalui penglibatan rakyat Sabah dalam industri, perniagaan dan pelaburan.

“Agenda Sabah First tidak hanya dipikul oleh kementerian tetapi harus menjadi agenda bersama seluruh ekosistem keusahawanan termasuk KCCI, dewan perniagaan dan persatuan industri. Kita mahu melihat rakyat Sabah sebagai pemilik ekonomi, bukan pemerhati,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertabalan dan Aku Janji Ahli Jawatankuasa KCCI, di sini baru-baru ini.

Menurut Ewon, dasar yang pernah diperkenalkannya ketika mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi termasuk Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, skim BEEP Plus untuk Sabah dan Sarawak, serta pembangunan Tamu Desa  turut melibatkan penyertaan strategik KCCI.

Namun katanya, tumpuan kini ialah membina sejarah baharu di bawah Kerajaan Perpaduan Sabah melalui kementerian yang diterajuinya, dengan memberi keutamaan kepada agenda Sabah First sebagai asas kepada pembangunan tiga ekosistem utama negeri: pelaburan, perniagaan dan keusahawanan.

Ewon berkata, peningkatan kualiti produk, pensijilan dan standard perkhidmatan PMKS akan terus diberi perhatian bagi memastikan usahawan Sabah bersedia bersaing dalam pasaran yang lebih luas.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan Sabah First berkait rapat dengan tuntutan hak 40 peratus hasil negeri, termasuk memastikan syarikat luar yang beroperasi di Sabah membayar cukai korporat sewajarnya.

“Saya bertanya sejauh mana cukai korporat dibayar kepada Sabah kerana ini teras utama perjuangan kita. Sabah mesti menikmati pulangan setimpal daripada pelaburan dalam negeri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau komited memastikan lebih ramai rakyat Sabah menikmati pendapatan sewajarnya, bukan sahaja sebagai pemilik perniagaan tetapi juga tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam syarikat pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Sabah terlalu lama digambarkan sebagai negeri miskin. Perkara ini boleh diubah hanya jika kita mencipta peluang pendapatan kepada rakyat. Sabah harus dibina oleh rakyat Sabah dan hasilnya mesti kembali kepada rakyat Sabah,” katanya.

Ewon turut menjelaskan bahawa pemindahan portfolio pengangkutan ke bawah kementerian meliputi Sabah Ports Authority, Jabatan Keretapi dan Jabatan Dermaga akan memudahkan penyelarasan strategi pelaburan dan logistik, seterusnya memperkemas penyampaian perkhidmatan.

Beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan KCCI serta dewan perniagaan lain dalam membantu memperkukuh hala tuju ekonomi negeri.

“Selagi saya diberi mandat, Sabah First akan kekal menjadi landasan utama. Ia tidak akan berjaya sekiranya hanya kementerian yang bergerak tetapi harus dipikul bersama KCCI, dewan perniagaan, pemain industri dan seluruh ekosistem keusahawanan,” katanya.

Ewon turut memaklumkan beliau akan melawat semua agensi di bawah kementerian dalam tempoh dua minggu bagi memastikan pelaksanaan dasar ekonomi negeri dapat digerakkan sepenuhnya seawal Januari depan.