Tangkapan 800kg Ikan, Dirampas Dari Bot Pukat Tunda di Lahad Datu

Tangkapan 800kg Ikan, Dirampas Dari Bot Pukat Tunda di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Sebuah bot pukat tunda yang membawa kira-kira 800 kilogram hasil tangkapan dipercayai diperoleh secara haram dirampas Maritim Malaysia selepas dikesan beroperasi dalam zon larangan perikanan di perairan Tabawan semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata penahanan dibuat kira-kira pukul 2.10 petang ketika rondaan pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Pulau Batik.

Bot itu dikendalikan tiga lelaki warga Indonesia berusia 30 hingga 46 tahun bersama seorang kru tempatan berbangsa Bajau berusia 35 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan aktiviti penangkapan ikan dilakukan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat, melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Zon larangan ini diwujudkan untuk mengelakkan eksploitasi sumber laut di kawasan pesisir serta memastikan industri perikanan berkembang secara mampan” kata Dzulfikhar.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang masih berdegil melanggar undang-undang di kawasan larangan.

Bot, kru dan keseluruhan hasil tangkapan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.