Duti eksais rokok, arak naik mulai 1 November

Duti eksais rokok, arak naik mulai 1 November

0
SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kerajaan menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa mulai 1 November sebagai langkah mengekang tabiat merokok dan memperkukuh Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Langkah itu bertujuan mengurangkan prevelans tabiat rokok, dengan harga sebatang rokok dinaikkan dua sen dan produk cigars, cheroots serta cigarillos dinaikkan RM40 sekilogram (kg).

Selain itu, produk rokok elektronik bagi memanaskan tembakau atau heated tobacco yang mengandungi kandungan tembakau dinaikkan RM20kg.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada masa sama, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk 100 terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk semburan nicotin dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.

Dalam usaha mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat, kerajaan juga menaikkan kadar duti eksais ke atas produk minuman keras sebanyak 10 peratus mulai 1 November.

“Hasil tambahan daripada rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.

“Kerajaan juga memberi pelepasan cukai pendapatan individu yang membuat perbelanjaan pemvaksinan yang layak dengan ia meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM sebagai galakan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menjamin keterjaminan ubat, kerajaan akan merintis projek usaha sama awam-swasta bagi ubat-ubatan penting yang akan meningkatkan keterjaminan bekalan ubat negara serta daya saing industri ubat tempatan.