KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Seramai 4,500 doktor kontrak dan 935 graduan jururawat Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan.
Ia antara langkah penyelesaian diambil Kerajaan MADANI dalam usaha menjaga kebajikan doktor dan petugas kesihatan.
Inisiatif itu turut menunjukkan keprihatinan berterusan kerajaan yang setakat ini sudah menawarkan lantikan tetap terhadap 12,900 doktor kontrak sejak 2023 sehingga tahun ini.
Dalam usaha menangani enam permasalahan meruncing didepani perkhidmatan dan sektor kesihatan, kerajaan meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada RM46.5 bilion.
Kadar itu lebih tinggi berbanding RM45.3 bilion yang disalurkan pada tahun ini.
Enam tumpuan utama merangkumi meningkatkan mutu prasarana kesihatan awam, mengatasi isu kesesakan di hospital awam, kenaikan inflasi perubatan, kebajikan doktor kontrak dan petugas kesihatan, keterjaminan bekalan ubat-ubatan dan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Peruntukan itu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil kira keperluan reformasi kesihatan yang menyeluruh berpandukan empat tonggak Kertas Putih Kesihatan.
Ia turut dijangka berupaya membina integrasi utuh antara sektor awam dan swasta dengan matlamat memastikan capaian perkhidmatan kesihatan bermutu, adil dan mampu bayar untuk manfaat masyarakat.






