KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Komander Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi di Abu Dhabi, semalam.

Dalam satu pautan yang dimuat naik di laman media sosial Facebook rasmi Istama Negara, dimaklumkan dalam sesi menghadap serta perbincangan bermula pada 11 pagi waktu tempatan itu, Seri Paduka dan Mejar Jeneral Saeed menyentuh berkenaan kerjasama dalam bidang ketenteraan antara Malaysia dan UAE berdasarkan kepentingan kedua-dua negara.
“Sesi itu adalah antara aktiviti Seri Paduka dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari yang berakhir semalam, atas persilaan peribadi Presiden UAE Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan,” jelas dalam pautan terbabit.
Sementara itu, dalam pautan yang sama Istana Negara turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada hari ini.





