KOTA KINABALU: Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila berjaya mara ke pentas akhir Malaysian Football League Challenge Cup edisi 2026, dengan perlawanan penentuan dijadual berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian itu merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak negeri selepas sekian lama Sabah tidak menjulang sebarang trofi dalam saingan liga tempatan.
“Kita berharap agar Sabah dapat menjadi juara MFL Challenge Cup ini untuk edisi tahun 2026 ini.
“Sekiranya kita dapat menang, maknanya kita telah memecahkan kemarau piala bola sepak Malaysia kerana sudah terlalu lama kita tidak memiliki apa-apa piala di dalam Liga Bola Sepak Malaysia itu atau Malaysian Super League,” katanya pada sidang media sempena Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri kementerian itu, di sini, hari ini.
Perlawanan akhir itu dimainkan secara timbal balik, dengan aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu berakhir seri 1-1, manakala aksi penentuan akan berlangsung di gelanggang sendiri, Stadium Likas.
Dalam usaha menyuntik sokongan padu penyokong, kerajaan negeri melalui kementerian berkenaan akan mengagihkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada peminat secara ‘first come, first serve’.
“Pengagihan tiket akan dilaksanakan oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini. Ini adalah tanda sokongan kita untuk memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan,” katanya.
Beliau turut menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC.
Menurutnya lagi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak.
Malah, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian bonus kepada pasukan Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara.
“Jika Sabah FC menang, kita akan sediakan bonus kemenangan sebagai penghargaan kepada pasukan,” katanya.
Mengulas isu ketiadaan perkampungan sukan seperti diumumkan kerajaan Persekutuan, Nizam berkata kerajaan negeri menerima baik pendekatan pemberian subsidi RM100 seorang kepada atlet dan pegawai, selaras dengan langkah perbelanjaan berhemah dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
“Kita menyokong pendekatan tersebut dan di peringkat negeri, segala perbelanjaan telah dirancang serta diurus dengan baik. Walaupun berbelanja secara sederhana, ia tidak akan menjejaskan semangat dan komitmen atlet untuk memberikan prestasi terbaik,” katanya.






