Kerajaan Perlu Tingkatkan Mekanisme Penggalak Ekonomi Di Kalangan Belia Sabah

Kerajaan Perlu Tingkatkan Mekanisme Penggalak Ekonomi Di Kalangan Belia Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) mengambil serius kerisauan belia mengenai peningkatan OPR (overnight policy rate) sebanyak dua kali bagi mengawal inflasi dan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Lebih-lebih lagi amaran daripada Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi secara global akan berlaku pada tahun 2023.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata,sehingga Ogos tahun ini negara mengalami peningkatan inflasi sebanyak 4.7 peratus di mana ia memberikan kesan negatif yang sangat ketara iaitu penurunan kuasa beli dan kos sara hidup terjejas teruk.

“Berdasarkan kepada rekod, pengangguran di kalangan belia Sabah mencecah 200,000…

“Malah seramai 45,900 belia Sabah berhijrah ke Semenanjung semata-mata mencari pekerjaan. Situasi ini merugikan Sabah kerana kehilangan kos tenaga buruh yang ramai.

“Justeru itu, MBS berharap agar kerajaan memperhebat mekanisme penggalak ekonomi di kalangan belia Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abqaree berkata, MBS mencadangkan beberapa langkah untuk membantu belia berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

Pertama sekali, katanya, memperkasa kemampanan ekonomi di kalangan belia.

“Langkah yang boleh diambil ialah, meningkatkan nilai pemberian tunai sebanyak 50 peratus melalui Bantuan Keluarga Malaysia kepada golongan B40.

“Seterusnya, memperkasa usahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui bantuan dana, pendidikan peningkatan skala pendapatan dan memperhebat jalinan kerjasama usahawan tempatan dengan pelabur luar,” ujarnya.

Selain daripada itu, katanya, kos harga rumah juga perlu diturunkan kerana menerusi tinjauan MBS, belia tidak mempunyai kemampuan untuk membeli rumah.

“Terakhir sekali, MBS berharap agar kerajaan mampu memperkasa ecopelancongan di luar bandar kerana antara penyumbang ekonomi terbesar adalah sektor pelancongan. MBS berharap agar bantuan dana dan jalinan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dapat dilaksanakan,” jelasnya.

MBS telah melihat pembangunan usahawan belia penting dalam memacu pembangunan ekonomi.

Menurutnya, langkah awal yang telah diambil ialah memberi pendidikan mengenai penternakan udang dan penanaman cendawan tiram dan cendawan sawit.

“Kajian yang telah dilaksanakan oleh MBS terhadap golongan belia yang tinggal di kawasan bandar membuktikan bahawa belia tidak bersedia berhadapan dengan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa belia tidak mempunyai simpanan masa depan. Oleh itu, kerajaan harus proaktif dalam memberi kesedaran awam dan pendidikan pengurusan kewangan di kalangan belia,” kata Abqaree.

Berdasarkan kepada statistik penceraian pada tahun 2021, sebanyak 4,010 pasangan telah bercerai.

Angka ini menunjukkan bahawa belia masa kini kurang pendidikan mengenai pengurusan rumahtangga, katanya, sambil menambah, MBS berharap agar agensi kerajaan terlibat mampu turun padang dan memberi pendidikan kepada mereka.

“Kebanyakan punca perceraian adalah disebabkan oleh masalah ekonomi dalam rumahtangga…

“Keruntuhan keluarga secara tidak lansung memberi tekanan emosi dan eksan psikologi di kalangan kanak-kanak.

“Oleh itu, MBS mencadangkan kerajaan memperhebat pendidikan pengurusan rumahtangga agar masalah sosial dapat di kalangan kanak-kanak dapat dielakkan.

Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan.

“Jelas sebanyak 81 peratus peningkatan kes bunuh diri berlaku pada tahun 2021 (1,142) kes berbanding tahun 2020 (631) kes. Lebih parah lagi, antara punca kes bunuh diri akibat daripada keberhutangan serius. Oleh itu, semua agensi berkaitan harus bekerjasama dalam membantu belia mengurus tekanan hidup dan mencari jalan keluar dari permasalahan yang dihadapi,” katanya.

MBS juga menggesa kerajaan agar memperhebat jaringan capaian talian internet di Kawasan luar bandar.

“Mendepani teknologi pada masa kini, capaian internet harus dipertingkatkan untuk membantu belia di kawasan luar bandar meningkatkan pendapatan ekonomi melalui platform e-dagang,” jelasnya.

Katanya, MBS berharap permintaan ini diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan demi pembangunan dan kemakmuran belia.