KOTA KINABALU: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mengangkat sumpah menganggotai Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah selepas dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.
Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada petang ini.
Daripada 10 individu tersebut, tujuh ADUN mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing seorang diwakili oleh Pakatan Harapan (PH), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Barisan Nasional (BN).
BN yang dilantik menganggotai barisan Jemaah Menteri ialah Datuk Jafry Ariffin, yang merupakan ADUN Sukau.
Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Kerajaan GRS pimpinan Hajiji melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (PH) (1), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan STARSABAH (2).
Pada awal pagi Ahad, Hajiji kembali menerajui pentadbiran negeri Sabah selepas secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-17.
Hajiji, 70, mengangkat sumpah di hadapan Tun Musa dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu, kira-kira 3 pagi.
Seramai 10 ADUN angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah:
1. Datuk Seri Joachim Gunsalam (GRS)
2. Datuk Seri Masidi Manjun (GRS)
3. Datuk Ewon Benedick (UPKO)
4. Datuk Arifin Ariff (GRS)
5. Datuk Jamawi Jaafar (PH)
6. Datuk Rubin Balang (GRS)
7. Datuk James Ratib (GRS)
8. Datuk Jafry Ariffin (BN)
9. Datuk Julita Mojungki (GRS)
10. Datuk Nizam Titingan (GRS)






