KOTA KINABALU, SABAH – Dua orang pesakit penerima transplan kornea (mata) telah menerima organ kornea dari seorang penderma organ, mendiang Laini Sukat, 60, menerusi pembedahan yang disempurnakan, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata pembedahan terbabit merupakan kes pendermaan organ kedua di Sabah bagi tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penderma organ yang merupakan orang tempatan itu
telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ranau.
“Pihak keluarga telah memaklumkan kepada pihak hospital bahawa mendiang pernah berhasrat menderma organ setelah pemergiannya dan seluruh ahli keluarga terdekat menyokong hasrat murni tersebut.
“Kes ini kemudian dirujuk ke Pusat Sumber Transplan Sabah, Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk penilaian kesesuaian, pengurusan logistik dan koordinasi pendermaan.
“Pendermaan sepasang kornea (mata) telah disempurnakan di HQE dan pembedahan transplan kornea turut berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata pihaknya mengucapkan takziah dan menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga penderma terbabit.
“JKNS turut merakamkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (IPD Ranau) dan Mahkamah Negeri Sabah (Mahkamah Majistret) di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan kes yang melibatkan medikolegal ini.
“JKNS menyeru orang ramai tampil mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan memaklumkan hasrat murni tersebut kepada ahli keluarga terdekat,” katanya.





