KOTA KINABALU: Tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang baharu selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, sebentar tadi.
Pelantikan mereka bagi menganggotai Kabinet Kerajaan Negeri yang baharu, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang lalu.
Mereka ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joachim Gunsalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Kerajaan GRS pimpinan Hajiji melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (PH) (1), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan STARSABAH (2).
Pada awal pagi Ahad, Hajiji kembali menerajui pentadbiran negeri Sabah selepas secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, bagi penggal kedua.
Hajiji, 70, mengangkat sumpah di hadapan Tun Musa, dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu, kira-kira 3 pagi.






