Orang Awam Tidak Dibenarkan Menyelenggara Pepasangan SESB 

Orang Awam Tidak Dibenarkan Menyelenggara Pepasangan SESB 

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihatkan para pengguna dan orang awam untuk menghubungi SESB bagi memperbaiki pepasangan milik SESB sekiranya ada kejanggalan kepada pepasangan itu.

Pepasangan milik SESB termasuklah talian perkhidmatan dan tiang elektrik yang berada di luar premis pengguna.

Orang awam tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja senggaraan tanpa kebenaran daripada SESB kerana menjadi tanggungjawab pihak SESB untuk menyelenggara pepasangan ini dan hanya kontraktor yang berkelayakan sahaja yang dibenarkan membuat kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan sub peraturan 110(1) dan 110 (2) , Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 1994.

Selain itu, SESB juga menasihatkan orang awam untuk sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan diri serta menyebabkan renjatan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, apa-apa aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan dengan tiang dan talian penghantaran elektrik yang bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

“Antara aktiviti berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik, kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan juga menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam. 

“SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat. 

“SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti yang ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB,” katanya dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Orang ramai boleh menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019- 8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berdekatan dengan pepasangan SESB.